Salam pada semua ahli Majlis Guru Besar Negeri Sembilan. Seperti yang semua maklum, setiap tahun, MGB Kebangsaan akan mengadakan Konvensyen Tahunan. Begitu juga pada tahun 2013 ini. Negeri bertuah, bandar istimewa yang terpilih tahun ini adalah Kota Kinabalu atau nama lamanya Jesselton. Konvensyen yang dijangka diadakan mulai 23 Jun hingga 26 Jun ini akan dihadiri oleh perwakilan dari semua negeri di Semenanjung dan Sabah serta Serawak.
Bagi Guru Guru Besar yang mungkin tidak pernah berkunjung ke Sabah, inilah masanya untuk berkunjung dan seterusnya mengenali negeri yang terkenal dengan jolokan Negeri Di bawah Bayu ini. Kota Kinabalu ibu Negeri Sabah ini memang amat terkenal dengan keunikannya yang tidak terdapat di mana-mana ibukota lain. Walaupun penulis pernah berkunjung ke Kota Kinabalu lama dahulu iaitu pada tahun 1983, penulis masih ingat dengan pelbagai keunikan Kota Kinabalu. Antaranya ialah Pasar Filifina yang sehingga kini masih hidup dan bakal akan terus hidup mewarnai salah satu kehidupan unik di ibukota Negeri Di Bawah Bayu ini.
Pengunjung di salah sebuah gerai Pasar Filifina
mutiara yang amat terkenal yang terdapat di Pasar Filifina
Jika anda suka mengunjungi pantai, tidak jauh dari Kota Kinabalu Sabah, kawan-kawan boleh mengunjungi Pantai Tanjung Aru dengan pasir memutih di siang hari atau menikmati suasana petang yang sungguh mengasyikan. Sewaktu kunjungan penulis ke Kota Kinabalu kira-kira 30 tahun yang lalu, Tanjung Aru masih belum membangun tidak sepesat pembangunan yang ada pada masa ini. Untuk mencari Chelet atau hotel, memang amat terhad pada masa itu. Tetapi sekarang ini, pertumbuhan hotel dan penginapan amat pesat dan tiada masalah untuk mendapatkannya.
suasana petang di Pantai Tanjung Aru
Begitu juga jika rakan-rakan ingin mengunjungi pulau. Antara pulau yang amat terkenal dan berhampiran dengan Kota Kinabalu adalah Pulau Gaya. 10 minit diperlukan jika berkereta dari KK ke pengkalan untuk Pulau Gaya. Pulau terbesar Taman Merin Tuanku Abdul Rahman ini juga telah pesat membangun jika dibanding semasa lawatan penulis semasa penulis menjadi pelajar Universiti Pertanian Malaysia 30 tahun yang lalu.
Pulau Gaya, Kota Kinabalu
Gaya berasal dari perkataan Bajau "Gayo" yang bermakna besar jesteru Pulau Gaya ini adalah antara pulau-pulau yang terbesar berhampiran Kota Kinabalu. Semasa lawatan penulis dahulu, pulau ini terkenal dengan Rumah Air (rumah yang didirikan di dalam air). Tetapi penulis tidak pasti samada rumah air ini masih wujud atau tidak lagi. Tetapi pada firasat penulis, rumah air ini pasti wujud lagi memandangkan inilah salah satu keunikan Pulau Gaya.
Oh ye. Sebut sahaja sabah, tidak sah kalau tidak sebut Gunung Kinabalu. Sewaktu kunjungan penulis ke Sabah dahulu (sebenarnya misi utama kami adalah untuk menakluki Kinabalu), penulis dan 25 rakan-rakan penulis telah menakluki Gunung Kinabalu. Penulis masih ingat lagi sewaktu itu, penulislah antara 3 orang rakan penulis dari 26 orang kumpulan kami termasuk seorang Pensyarah, Prof Taha Kadir, yang mula-mula menjejaki Low Peak Gunung Kinabalu.
Gunung Tertinggi di AsiaTenggara kelihatan berawan
pendaki menuju Low's Peak, puncak tertinggi Asia Tenggara
Pada Konvensyen MGB Kebangsaan 23 hingga 26 Jun ini, kita semua mungkin tidak berkesempatan untuk mendaki Gunung Kinabalu. Tetapi rasanya, kita masih berpeluang untuk ke kaki Gunung Kinabalu melihat Pekan Kundasang yang terkenal dengan sayur-sayuran segarnya. Tapi rakan-rakan semua, tengok sayuran segar...memang boleh. Tetapi tidak perlu beli kerana bila dibawa ke Semenanjung nanti, dah layu... nanti orang rumah kata...kita bukan nak sayur layu tapi nak mutiara berkilauan...Ha..Ha..
Pekan Kundasang
Sebenarnya Pekan Kundasang ini telah hampir benar dengan kaki Gunung Kinabalu. Kundasang bukan sahaja terkenal dengan sayur-sayurannya, ianya juga terkenal dengan ladang ternakannya. Tuan/puan juga boleh membeli pelbagai cenderamata dan cenderahati untuk dibawa balik ke semenanjung.
Begitulah serba sedikit penerangan berdasarkan pengalaman penulis yang mungkin berguna kepada rakan-rakan perwakilan Negeri Sembilan khususnya dan rakan-rakan perwakilan dari semenanjung amnya yang akan ke Kota Kinabalu pada 23 hingga 24 Jun 2013 ini. Selamat berkonvensyen. Ambillah peluang yang ada untuk mengenali Kota Kinabalu dengan lebih bermakna.
Norman